UMS menganjurkan Pertandingan Mewarna Sempena Bulan Kemerdekaan, bertemakan “Cintai Alam Kita: Dunia Cendawan” menggunakan teknologi Augmented Reality (AR)

Program Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, dan Pusat E-Pembelajaran, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Industri Cendawan Cerah Sdn. Bhd. dan Sabah Institute of Art (SIA), telah menganjurkan Pertandingan Mewarna Sempena Bulan Kemerdekaan, bertemakan “Cintai Alam Kita: Dunia Cendawan.” Ini merupakan aktiviti yang julung kali diadakan di Malaysia khasnya dan di dunia amnya. Pertandingan mewarna “Dunia Cendawan” ini menggunakan teknologi Augmented Reality (AR). Penggunaan teknologi yang bersifat “3D” ini amat sesuai sebagai suatu pendedahan kepada kanak-kanak prasekolah kepada teknologi tinggi. Keindahan “dunia cendawan” yang  terserlah melalui teknologi ini, juga akan menyemarakkan “kesukaan kanak-kanak” kepada program STEM yang mendatang. Infomasi khas: pertandingan ini berlangsung dari 9 Ogos 2021 sehingga 25 Ogos 2021. Penyertaan, terbuka kepada seluruh kanak-kanak prasekolah di Malaysia. Maklumat lanjut berkaitan dengan hadiah pemenang dan beberapa maklumat mengenai pertandingan mewarna sempena bulan kemerdekaan ini boleh dilayari pada pautan berikut: https://cendawancerah.com/site/ar-colouring-contest.

Pertandingan mewarna menggunakan teknologi Augmented Reality (AR) membantu kanak-kanak meneroka cara baharu berbanding dengan kebiasaan sebelum ini seperti mewarna bendera kebangsaan, bunga raya dan sebagainya. Aktiviti ini mengetengahkan tema Dunia Cendawan ini turut mengharapkan agar kanak-kanak dapat didedahkan dengan nilai mencintai alam kita bermula dari anak kecil lagi. 

Contoh hasil kerja kanak-kanak

Seperti dalam gambar di atas, murid akan memuat turun gambar cendawan dan seterusnya mewarnakan gambar tersebut menggunakan warna pensel dan kemudiannya mengimbas gambar cendawan yang sudah diwarna menggunakan aplikasi AR. Gambar yang dihasilkan daripada aplikasi AR ini sangatlah menarik dan 3 dimensi (3D) objek cendawan dapat dilihat seperti realiti berdasarkan warna yang telah diwarna oleh murid di dalam kertas cendawan. Maklumat lanjut mengenai panduan mewarna menggunakan aplikasi AR boleh dilihat dalam pautan ini: https://youtu.be/Es4Q1GP4pUY. Sebarang pertanyaan tentang pertandingan ini boleh hubungi Dr. Connie Cassy Ompok (connieompok@ums.edu.my), AP Ts. Dr.  Edmund Ng (nggiapweng@ums.edu.my) dan Dr. Nur Suhaidah Sukor (nursuhaidahsukor@ums.edu.my)

Menurut Dr. Connie Cassy Ompok, Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, UMS, Dunia Cendawan merentas Pendidikan STEM sesuai untuk kanak-kanak. Banyak aktiviti STEM untuk Pendidikan awal kanak-kanak yang menggunakan Cendawan telah dihasilkan. Antaranya ialah penghasilan bongkah cendawan (STEM Engineering),  aktiviti penerokaan tumbesaran cendawan (STEM Explore, Discover, Innovate), aktiviti ekonomi yang berasaskan cendawan (STEM Global), aktiviti pendekatan projek bersama ibu-bapa  (STEM Society), keusahawan dalam pendidikan awal kanak-kanak (STEM Entrepreneurship) untuk kemampanan alam sekitar (STEM Sustainability)  dan seterusnya memberi kesedaran semenjak kanak-kanak lagi supaya lebih menghargai khazanah alam di negara ini (STEM Heritage). Program Pendidikan Awal Kanak-kanak akan terus bekerjasama dengan Pusat E-Learning, UMS untuk berkongsi aktiviti kepada kanak-kanak dengan penggunaan teknologi tinggi terutamanya semasa Pandemik ini.